Kelab bola sepak berpangkalan di pantai timur, Terengganu FC melancarkan jersi baharunya keluaran kit jenama dari England, Umbro bersempena dengan Black And White Day 2022, pada hari ini.
Jersi Terengganu ‘home’ musim ini hadir dengan rekaan belang hitam dan putih di bahagian hadapan sambil diserikan dengan logo Colever selaku penaja utama.
Di bahagian belakang pula, ianya serba putih tanpa sebarang corak belang hitam putih. Di bahagian atas tertera logo kapal nelayan dan bahagian bawahnya terdapat beberapa logo penaja.
Sementara itu, jersi Terengganu ‘alternate’ pula didatangkan dengan warna biru kehijauan atau dikenali sebagai ‘turqoise’ secara keseluruhan. Perletakan logo penaja-penajanya sama seperi jersi ‘home’.
Dimaklumkan, jersi bagi ‘home’ dan ‘alternate’ ini diletakkan dengan tanda harga RM119 sehelai. Bagaimanapun, para penyokong skuad Black and White yang mahu memiliki jersi ini perlu menunggu sekurang-kurangnya sehingga minggu hadapan memandangkan stok belum tersedia pada ketika ini.
Untuk makluman semua, Terengganu dan Umbro mengikat kerjasama selama dua tahun bermula Januari lalu. Sebagai rekod, kali terakhir pasukan Terengganu bekerjasama dengan Umbro adalah pada tahun 2014 dan 2015.