JDT Muncul Juara Piala Sumbangsih, Hasrat TMJ Tinggalkan Bola Sepak Terhalang
February 26, 2022 Hafizuddin Omar

Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak berdepan masalah besar untuk merekodkan kemenangan ke atas Kuala Lumpur City FC (KL City) sekaligus berjaya merangkul kejuaraan Piala Sultan Haji Ahmad Shah atau Piala Sumbangsih 2022.

Skuad kendalian jurulatih Mexico, Benjamin Mora itu berhasil meraih kemenangan dengan keputusan 3-0 hasil jaringan Nazmi Faiz, Fernando Forestieri dan Afiq Fazail pada minit ke-26, ke-31 dan ke-84 masing-masing.

Kebangkitan yang cuba ditampilkan oleh KL City kendalian Bojan Hodak pada separuh masa kedua pula masih tidak memadai untuk menggugat JDT yang beraksi dengan cukup baik di hadapan penyokong sendiri di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.

Kemenangan ini secara tidak langsung menghalang hasrat pemilik JDT merangkap Tunku Mahkota Johor, DYAM Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim untuk tidak terlibat lagi dengan aktiviti bola sepak dalam negara.

Tangkap layar kenyataan TMJ di ruangan komen Instagram milik JDT

Terdahulu, TMJ membuat satu kenyataan di ruangan komen di akaun Instagram milik JDT, semalam, dengan mengatakan, “jikalau kalah (kepada KL City) esok saya tinggalkan bola sepak sepenuhnya dan tidak akan terlibat lagi dengan apa apa aktiviti bola sepak dalam negara.”

Untuk makluman semua, kemenangan pada malam ini menjadikan JDT telah menjulang trofi Piala Sumbangsih sebanyak tujuh kali daripada 8 penyertaan bermula tahun 2015. Mereka hanya tumpas sekali kepada pasukan Kedah pada tahun 2017.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers & HRH Crown Prince of Johor

Komen