RM25 Juta Belanja Terengganu FC Hadapi Liga Malaysia – 20% Daripadanya Hasil Penajaan
February 27, 2022 Hafizuddin Omar

Sebanyak RM25 juta akan dibelanjakan oleh Kelab Bola Sepak Terengganu (Terengganu FC) bagi menghadapi saingan Liga Malaysia 2022.

Sementara itu, RM5 juta atau 20% daripada perbelanjaan tersebut disumbangkan menerusi penajaan yang dimeterai oleh skuad berpangkalan di pantai timur itu pada musim ini.

Perkara tersebut dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Terengganu FC, Ab Rasid Jusoh ketika ditemui oleh para pengamal media pada acara Black And White Day 2022 di Stadium Tertutup Gong Badak, semalam.

“Penajaan kita secara keseluruhannya untuk kita pada tahun ini lebih kurang dalam RM5 juta,

Foto: Fit Terengganu

“(Bajet) keseluruhannya lebih kurang RM25 juta,” katanya ketika ditemui selepas acara berkenaan.

Semasa acara berkenaan, skuad Hitam Putih ini turut memperkenalkan 20 entiti yang menajanya pada musim ini yang dibahagikan kepada kategori platinum, gold, silver dan bronze.

TDC Holdings muncul sebagai penaja platinum buat pasukan Terengganu sementara Terengganu Inc, Syarikat Air Terengganu (SATU), Epic Berhad, Ladang Rakyat Terengganu dan Umbro sebagai penaja gold.

Difahamkan baki RM20 juta itu merupakan suntikan dana kerajaan negeri serta perniagaan-perniagaan yang diusahakan oleh Terengganu FC.

Pasukan Terengganu di bawah kemudi Ab Rasid meletakkan sasaran untuk sifar suntikan dana daripada kerajaan negeri pada tahun 2027 kelak.

Featured Image: Terengganu FC

Komen