Pasukan Liga Perdana Inggeris (EPL), Leeds United mengesahkan berpisah dengan ketua jurulatihnya, Marcelo Bielsa.
Perkara tersebut diumumkan menerusi satu kenyataan rasmi yang dikeluarkan oleh skuad The Whites, pada malam tadi.
Pengerusi Leeds United, Andrea Radrizzani berkata, “Ini merupakan keputusan yang paling sukar perlu dilakukan oleh saya sepanjang memegang Leeds United, dengan mengambil kira segala kejayaan yang dicapai Marcelo bersama kelab,”
Baca: Gaya Marcelo Bielsa Bercangkung Di Tepi Padang Tarik Perhatian Ramai
“Bagaimanapun, saya terpaksa melakukan keputusan yang terbaik untuk kelab dan saya percaya perubahan perlu dilakukan sekarang untuk memastikan status Premier League kita kekal. Kebelakangan ini, keputusan dan prestasi tidak mencapai jangkaan kita,” jelasnya.
Untuk pengetahuan semua, Leeds sudah mengharungi 26 perlawanan EPL musim ini dan mereka hanya mencatatkan 5 kemenangan dan 8 seri sahaja.

Ini menyebabkan Leeds bimbingan Marcelo hanya mengutip 23 mata dan menduduki tangga ke-16 liga. Jumlah mata tersebut hanya berbeza dua mata sahaja dengan pasukan yang berada di zon penyingkiran.
Sebagai rekod, Marcelo mula membimbing Leeds pada tahun 2018. Antara pencapaian jurulatih kelahiran Argetina ini bersama Leeds adalah mendapatkan promosi ke divisyen dua bola sepak England, Liga Kejuaraan, memenangi Liga Kejuaraan 2019-20 dan memimpin Leeds kembali ke saingan EPL buat pertama kali dalam masa 16 tahun.