Artikel

BWF Batal Semua Kejohanan Badminton Di Rusia & Belarus

Persekutuan Badminton Dunia (BWF) membuat keputusan untuk membatalkan semua kejohanan badminton yang mendapat pengiktirafannya di Rusia dan Belarus sehingga diberitahu kelak.

Selain itu, badan induk badminton dunia itu turut mengumumkan bendera kebangsaan Rusia dan Belarus tidak akan dikibarkan serta lagu kebangsaan kedua-dua negara tidak akan dimainkan di mana-mana kejohanan BWF.

Perkara tersebut disampaikan BWF menerusi satu kenyataan media yang dikeluarkan semalam berikutan ‘operasi tentera’ Rusia ke atas negara jirannya, Ukraine sejak 24 Februari lalu.

Mesyuarat Majlis BWF membuat keputusan ini sebagai menyokong kenyataan umum yang dikeluarkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan mengutuk serangan tentera Rusia ke atas Ukraine serta menzahirkan kembimbangannya ke atas orang awam yang terkesan. 

Badan induk itu percaya sebarang konflik seharusnya diselesaikan tanpa menggunakan kekerasan dan menzahirkan kepercayaan dalam sumbangan pergerakan sukan kepada keamanan dan perpaduan antara semua insan.

Tambah kenyataan itu lagi, BWF akan terus memantau keadaan ini dengan rapat dan proaktif memberikan nasihat kepada rakan pergerakan sukan antarabangsa untuk membincangkan pilihan lain bagi mengukuhkan potensi langkah yang diambil terhadap kerajaan Rusia dan Belarus.

komen