Badan pentadbir ragbi antarabangsa, Ragbi Dunia (World Rugby) bertindak menggantung Rusia dan Belarus daripada aktiviti antarabangsa termasuk peringkat kelab dalam sukan berkenaan sehingga diberitahu.
Selain itu, badan itu selepas daripada Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif turut mengumumkan menggantung keanggotaan Kesatuan Ragbi Rusia daripada Ragbi Dunia sehingga diberitahu kelak.
Dimaklumkan, ianya berkuat kuasa serta merta sepertimana diberitahu menerusi satu kenyataan media yang disiarkan oleh Ragbi Dunia, pada hari ini.
Kedua-dua tindakan itu diambil atas gesaan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) ekoran ‘operasi tentera’ Rusia ke atas Ukraine.
Dengan tindakan ini, peluang untuk Rusia layak ke Piala Dunia Ragbi Perancis 2023 tertutup sama sekali.
Terdahulu, Persekutuan Persatuan Bola Sepak Dunia (FIFA) dan Kesatuan Persatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) telah menggantung pasukan kebangsaan dan kelab-kelab Rusia daripada sebarang aktiviti bola sepak antarabangsa.
Manakala Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pula membatalkan kejohanan badminton yang diiktirafnya di Rusia dan Belarus.