Piala AFC 2022: Visakha FC Lengkapkan Kumpulan G Yang Melibatkan Kedah Darul Aman
March 1, 2022 Hafizuddin Omar

Teka-teki mengenai sebuah lagi pasukan yang mengisi Kumpulan G yang turut melibatkan wakil Malaysia, Kedah Darul Aman FC (Kedah) dalam saingan Piala AFC 2022 telah diketahui.

Menerusi satu makluman oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) pada hari ini, pasukan dari Kemboja iaitu Visakha FC layak secara automatik untuk menyertai kumpulan tersebut.

Pada awalnya, Visakha yang menamatkan saingan di tempat ketiga dalam saingan Liga Kemboja 2021 perlu mengharungi perlawanan play-off terlebih dahulu menentang wakil Laos, Young Elephants FC pada 19 April nanti.

Bagaimanapun, perlawanan itu dibatalkan dan keputusan ini dibuat selepas dua kelab dari Myanmar, Shan United FC dan Hantharwady FC menarik diri daripada saingan kelas kedua peringkat benua asia ini.

Untuk makluman semua, Kumpulan G yang terdiri daripada Visakha dan Kedah bersama-sama wakil Indonesia, Bali United serta wakil Filipina, Kaya FC-Iloiloi akan memulakan saingan ini pada Jun kelak secara venue berpusat di Denpasar, Bali, Indonesia.

Manakala Young Elephants pula diberikan tiket automatik ke saingan ini dengan menyertai Kumpulan I yang terdiri daripada Viettel FC (Vietnam), Hougang United FC (Singapura) dan Phnom Penh Crown FC (Kemboja).

Sementara itu, penarikan diri oleh dua kelab dari Myanmar itu menjadikan Kumpulan H yang akan dilangsungkan di Kuala Lumpur ditandingi oleh 3 pasukan sahaja terdiri daripada Kuala Lumpur City FC (Malaysia), Tampines Rovers FC (Singapura) dan PSM Makassar (Indonesia).

Komen