Kemenangan yang diraih oleh pasangan adik-beradik, Kasturi Radhakrishnan dan Venosha Radhakrishnan bagi kategori beregu wanita dalam saingan badminton Cabaran Antarabangsa Uganda 2022 memberikan peningkatan ranking yang sangat ketara.
Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Kasturi-Venosha mencatatkan peningkatan sebanyak 33 anak tangga sekaligus meletakkan mereka di kedudukan ke-110 dunia, pada minggu ini.
Untuk pengetahuan semua, ini merupakan ranking tertinggi pernah diduduki oleh Kasturi-Venosha sejak mula bergandingan bersama sekitar Jun 2019.
Di kejohanan tersebut, pasangan adik-beradik yang berusia 21 dan 19 tahun masing-masing ini muncul juara di saingan berkenaan selepas berjaya menumpaskan beregu Itali, Martina Corsini-Judith Mair secara ‘straight set’ pada perlawanan akhir.
Sebelum itu, Kasturi-Venosha menempah tiket ke perlawanan akhir dengan menumpaskan beregu Itali, Mesir dan Afrika Selatan masing-masing di peringkat separuh akhir, suku akhir dan Pusingan 16.
Sebagai rekod, ini juga merupakan kejuaraan kejuaraan kedua peringkat senior yang dirangkul oleh Kasturi-Venosha. Kejuaraan pertama yang diraih oleh pasangan beregu ini adalah Cabaran Antarabangsa Mauritius 2019.
Featured Image: Instagram Venosha Radhakrishnan