Farah Ann Abdul Hadi merupakan nama yang tidak asing lagi dalam sukan gimnastik Malaysia. Mendapat julukan ratu gimnastik negara, kecemerlangan Farah Ann dalam sukan ini terbukti dengan kejayaan merangkul pelbagai kilauan pingat terutamanya di temasya Sukan SEA.
Terbaru, dilaporkan oleh Stadium Astro, atlet berusia 27 tahun ini mungkin akan bersara daripada sukan gimnastik. Jurulatihnya, Ng Shu Wai tidak menolak perkara ini dimana Farah Ann sudah berhenti berlatih bersama skuad kebangsaan sekitar dua minggu lepas.
Shu Wai turut mendedahkan niat atlet itu untuk berhenti telah dibincangkan beberapa kali antara Farah Ann dan dirinya sebelum ini. Antara alasan Farah Ann membuat keputusan tersebut kerana sudah tidak mampu mengikuti rejim latihan disebabkan oleh masalah kecederaan yang dialaminya.
Keputusan ini sedikit sebanyak menyedihkan Shu Wai dan skuad kebangsaan kerana memberi impak terhadap acara berpasukan yang melibatkan atlet tersebut kelak. Namun begitu, beliau tetap menerima keputusan yang dibuat oleh Farah Ann itu dengan terbuka.
Untuk rekod, Sukan Olimpik Tokyo 2020 menjadi pentas antarabangsa terbesar yang terakhir disertai oleh Farah Ann. Di temasya berkenaan, dia menamatkan saingan di tempat ke-68 daripada 85 peserta yang bertanding secara keseluruhan.