Pemain Badminton Rusia Tidak Dibenarkan Beraksi Di Pentas Antarabangsa – Bermula Terbuka Jerman 2022
March 2, 2022 • Hafizuddin Omar

Pemain-pemain badminton dan para pegawai dari Rusia dan Belarus tidak dibenarkan untuk menyertai atau terlibat dalam sebarang kejohanan badminton yang diiktiraf oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) sehingga diberitahu kelak.

Menerusi satu kenyataan yang dikeluarkan semalam, tindakan tersebut dilakukan oleh badan induk badminton dunia itu bagi meningkatkan lagi ‘tekanan’ terhadap kerajaan Rusia dan Belarus yang menceroboh Ukraine.

Larangan buat para pemain dan pegawai dari dua negara berkenaan untuk menyertai sebarang kejohanan antarabangsa itu bermula dengan saingan Terbuka Jerman 2022 yang akan bermula pada 8 Mac kelak.

Berdasarkan pemerhatian, sebilangan pemain Rusia telah pun didaftarkan untuk beraksi di kejohanan bertaraf Jelajah Dunia Super 300 BWF terbabit. Namun, perkembangan terbaru ini menyaksikan mereka terpaksa mengucapkan ‘good bye’ kepada kejohanan ini.

Antaranya perseorangan wanita Evgeniya Kosetskaya (ranking ke-26), beregu lelaki Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov (ranking ke-15), beregu wanita Anastasiia Akchurina dan Olga Morozova (ranking ke-36) serta beregu campuran Rodion Alimov dan Alina Davletova (ranking ke-18).

Beregu lelaki Rusia, Vladimir Ivanov dan Ivan Sozonov.

Bagaimanapun, BWF memberikan ruang kepada sebilangan kecil pemain-pemain Rusia yang terlibat dalam kejohanan badminton para berganda pada minggu ke-9 dan minggu ke-10 di Sepanyol.

Ini disebabkan mereka telah pun berada di sana dan larangan ini sukar dilakukan dalam masa yang singkat. Bagaimanapun, mereka perlukan beraksi sebagai pemain neutral dan tidak mewakili negara masing-masing.

Tindakan menghalang para pemain dan pegawai dari kedua-dua negara berkenaan oleh BWF ini selaras dengan gesaan oleh Ahli Lembaga Eksekutif Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC).

Terdahulu, BWF bertindak membatalkan semua kejohanannya di Rusia dan Belarus. Selain itu, bendera Rusia dan Belarus tidak akan dikibarkan dan lagu kebangsaan kedua-dua negara berkenaan tidak akan dimainkan di mana-mana kejohanannya.

Featured Image: BWF

Komen