Artikel

Song Dilantik Sebagai Pengurus Skuad Kebangsaan Atas Arahan Presiden Republik Cameroon

Persekutuan Bola Sepak Cameroon (Fecafoot) memilih bekas kapten dan pemain legenda negara berkenaan, Rigobert Song, 45 tahun, sebagai pengurus baharu menggantikan Toni Conceicao.

Song yang merekodkan penampilan terbanyak bersama Cameroon (137 kaps) dipilih sebagai pengemudi baharu ‘The Indomitable Lions’ setelah dimaklumkan Menteri Sukan & Pendidikan Fizikal, Narcisse Mouelle Kombi menerusi satu siaran media, pada Isnin lalu.

Difahamkan, perlantikan bekas pemain yang pernah beraksi di 4 edisi Piala Dunia ini dibuat atas arahan daripada presiden republik berkenaan, Paul Biya kepada Fecafoot yang dipimpin oleh Samuel Eto’o.

Perlantikan ini hadir dengan cabaran yang besar buat Song. Dia hanya mempunyai masa 3 minggu sahaja untuk menyiapkan pasukan bagi menghadapi pusingan terakhir kelayakan Piala Dunia 2022 Qatar secara timbal balik menentang Algeria pada 25 dan 29 Mac kelak.

Pemenang pusingan kelayakan terakhir peringkat benua afrika itu akan mara terus saingan Piala Dunia yang akan berlangsung pada penghujung tahun ini.

Sebagai rekod, sebelum ini, Song merupakan pengurus skuad bawah 23 tahun.

komen