Pemain pertahanan muda import Selangor FC, Jordan Ayimbila tidak akan menyarung jersi skuad Gergasi Merah pada musim ini berikutan membuat keputusan untuk berhijrah menyertai sebuah kelab di Amerika Syarikat.
Menerusi makluman rasmi oleh pihak kelab, pemain berusia 21 tahun kelahiran Ghana itu akan menyertai San Antonio FC yang beraksi dalam saingan USL Championship. Sehubungan itu, ‘perceraian’ antara Jordan dan Selangor telah dicapai menerusi persetujuan bersama.
Ketua jurulatih Selangor, Michael Feichtenbeiner gembira dengan perkembangan ini dan melihat sistem yang dibina oleh Selangor mampu melahirkan pemain yang berpotensi dengan memberikan peluang untuk mengembangkan bakat.
Untuk rekod, Selangor mendapatkan Jordan pada Januari 2021 secara pinjaman untuk diletakkan di skuad simpanan, Selangor 2. Bagaimanpun, pemain yang dipinjamkan daripada Accra Lions FC ini berjaya menembusi skuad utama.
Mampu beraksi sebagai pertahanan tengah (centre back) mahupun bek kiri (left back), Ayimbila berjaya merekodkan 24 penampilan serta menjaringkan satu gol bersama skuad utama Selangor dalam saingan Liga Malaysia, musim lepas.
Featured Image: Selangor FC