Artikel

Semua Perlawanan Liga Premier 2022 Boleh Ditonton Secara Langsung Di Youtube MFL

Kesemua perlawanan bola sepak divisyen kedua Malaysia, Liga Premier kini boleh ditonton menerusi platform perkongsian video, Youtube.

Ini selepas pihak pengelola liga, Malaysian Football League (MFL) mengumumkan 90 perlawanan Liga Premier pada musim ini dapat ditonton secara langsung menerusi saluran Youtube MFL.

“Umum mengetahui siaran langsung buat Liga Premier sejak dua tahun kebelakangan ini sedikit terjejas disebabkan pandemik Covid-19 yang menyerang seluruh dunia pada Mac 2020 dan Liga Premier tidak terkecuali menerima tamparan ini.

“Demi kepuasan penyokong-penyokong, MFL sedang berusaha mengelak isu teknikal stadium untuk menyiarkan siaran langsung kesemua 90 perlawanan Liga Premier. 

“Jika segala berjalan lancar MFL akan menyiarkan 90 perlawanan Liga Premier 2022 bagi memastikan kemeriahan Liga Malaysia dapat dinikmati semua penyokong,” kata Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam.

Perkembangan ini pastinya menggembirakan penyokong dan peminat 10 buah pasukan yang beraksi di saingan Liga Premier musim ini seperti Johor Darul Ta’zim II, Kelantan FC, Kelantan United FC, Kuching City FC, PDRM FC,  Perak FC, Selangor FC 2, Skuad Projek FAM-MSN, Terengganu FC II dan UiTM FC.

Sebelum ini, hanya beberapa perlawanan Liga Premier sahaja dapat disaksikan secara langsung. Bagaimanapun, ianya merupakan siaran langsung berbayar yang dibuat atas inisiatif tersendiri kelab seperti Kelantan FC, PDRM FC dan Terengganu FC II dengan menjalankan kerjasama dengan syarikat penyiaran kecil tempatan.

komen