Pemain senior, Chan Peng Soon terpaksa berenggang seketika bersama pasangannya, Valeree Siow dan kini membentuk satu lagi gandingan campuran baharu bersama pemain berusia 21 tahun, Toh Ee Wei.
Menurut laporan akhbar berbahasa inggeris, New Straits Times, Peng Soon terpaksa berpisah seketika dengan pasangannya sebelum ini. Hal ini kerana jurulatih mahu memberikan keutamaan kepada gandingan Valeree bersama Low Yeen Yuan, yang kini memasuki kelompok 100 beregu terbaik dunia.
Sebagai alternatif, Peng Soon diberikan gandingan sementara bersama Ee Wei. Sebelum ini, Ee Wei membentuk gandingan campuran bersama Choong Hon Jian dimana mereka berjaya meraih kejuaraan di Terbuka Poland, Cabaran Antarabangsa Slovenia dan Terbuka Australia.
Sementara itu, Veleree-Yeen Yuan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir Saingan Antarabangsa Syed Modi pada bulan lalu akan mengambil bahagian dalam kejohanan Terbuka Swiss (22-27 Mac) dan Orleans Masters di Perancis (29 Mac-3 April).
Kejohanan ini sebahagian daripada persiapan buat beregu ini untuk menghadapi saingan kejohanan badminton wanita berpasukan, Piala Uber 2022 di Bangkok pada Mei nanti.