Artikel

Jersi ‘Away’ Penang 2022 Serba Kuning Diperkenalkan – Harga Jualan RM179.90

Skuad berpangkalan di utara semenanjung tanah air, Penang FC tampil memperkenalkan jersi ‘away’ baharu untuk digunakan dalam saingan Liga Malaysia 2022.

Diperkenalkan secara atas talian menerusi pelbagai platform media sosialnya pada hari ini, jersi keluaran Puma itu hadir dalam warna serba kuning sambil diserikan dengan logo ‘Penang 2030’ di bahagian hadapan.

Di bahagian belakang pula, terdapat sebuah logo penaja, BKT serta logo ‘Sports For All’. Sementara itu, di lengan kanannya, terdapat logo penaja, The Ship Campus.

Seperti dimaklumkan oleh pihak kelab, harga jualan bagi jersi ini adalah RM179.90 sehelai. Bagaimanapun, buat pembeli yang ke Stadium Sultan Ibrahim bagi menonton perlawanan pertama Liga Super 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) menentang Penang, esok, akan diberikan potongan harga kepada RM155 sehelai.

Syaratnya, pembeli perlu mengemukakan bukti pembelian tiket perlawanan atau tiket perjalanan bas untuk mendapatkan harga istimewa ini.

komen