Artikel

Peraturan Baharu MFL: Kelab Layak Mohon Tangguh Perlawanan Sekiranya 50% Pemain Dijangkiti Covid-19

Pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan membuat pindaan melibatkan Peraturan Perlawanan Tertunda Covid-19.

Menerusi kenyataan oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MFL, Stuart Ramalingam berkata kelab hanya layak memohon penangguhan perlawanan sekiranya 50 peratus atau lebih dari jumlah pendaftaran skuad utama bagi pegawai dan pemain yang layak didaftarkan pada hari perlawanan dijangkiti Covid-19 atau kontak rapat bergejala.

“Untuk permohonan penangguhan ini, kelab perlu mengemukakan dokumen antaranya bukti keputusan ujian dan status Mysejahtera serta surat pengesahan daripada doktor pasukan,” kata Stuart.

“Walaubagaimanapun, sekiranya penundaan perlawanan yang berlanjutan sehingga menjejaskan penjadualan perlawanan liga dan kalendar pertandingan MFL secara keseluruhannya, maka sebarang keputusan dan tindakan adalah tertakhluk kepada Ahli Lembaga Pengarah MFL,” tambahnya lagi.

Dalam kenyataan yang sama, MFL turut mengumumkan penundaan dua perlawanan pembukaan dalam saingan Liga Premier 2022.

Ini selepas 14 pemain serta pegawai pasukan PDRM FC didapati positif Covid-19 dan menjadi kontak rapat bergejala. Sementara itu, dua jurulatih serta kesemua pemain Skuad Projek FAM-MSN juga menerima nasib yang sama.

Justeru, perlawanan yang membabitkan kedua-dua pasukan, Selangor FC 2 vs Skuad Projek FAM-MSN dan PDRM FC vs Kuching City FC yang sepatutnya berlangsung pada 5 dan 7 Mac ditunda. Tarikh baharu melibatkan dua perlawanan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat.

Featured Image: Football Association of Malaysia

komen