Artikel

Petronas Taja BAM Selama 3 Tahun, Saingan Super 750 Kini Digelar ‘Petronas Malaysia Open’

Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mengumumkan mendapat tajaan daripada syarikat minyak dan gas negara, Petronas menerusi subsidiarinya, Petronas Dagangan Berhad selama tiga tahun.

Perkara tersebut diumumkan oleh Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dalam satu majlis menandatangani perjanjian penajaan bersama Petronas yang dimaklumkan terbesar pernah diperolehi oleh badan induk itu, pada hari ini. 

“Saya berbesar hati mengumumkan Petronas komited untuk memainkan peranan besar dalam menyumbang kepada pembangunan badminton di Malaysia dengan menandatangani perjanjian bernilai jutaan ringgit dalam tempoh tiga tahun,” katanya semasa menyampaikan ucapan dalam majlis tersebut.

Hasil penajaan tersebut, Petronas mendapat ‘title sponsor’ kepada saingan badminton tempatan bertaraf Super 750 BWF, Terbuka Malaysia bermula musim ini sekaligus menjadikan kejohanan itu bergelar ‘Petronas Malaysia Open 2022’. 

Sementara itu, pusat latihan badminton kebangsaan pula akan digelar sebagai Petronas Akademi Badminton Malaysia. Selain itu, logo Petronas turut menghiasi pada bahagian hadapan jersi yang disarung oleh para pemain di bawah naungan BAM dalam setiap kejohanan antarabangsa yang disertai mereka.

Difahamkan jersi dengan logo tajaan Petronas itu akan digunakan bermula dengan Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England 2022 yang akan berlangsung pada 16 hingga 20 Mac kelak.

Bagaimanapun, tiada sebarang jumlah penajaan didedahkan oleh kedua-dua pihak.

komen