Kelantan FC Sudah Buat Permohonan Tanah Untuk Pusat Latihan Sejak 2 Tahun Lalu
March 4, 2022 Hafizuddin Omar

Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman memaklumkan pihaknya telah memohon tanah untuk dijadikan tapak pembinaan pusat latihan pasukan tersebut sejak dua tahun lalu.

Bagaimanapun, skuad yang berjulukan The Red Warriors ini masih tidak mendapat sebarang jawapan berhubung dengan permohonan tersebut sehingga ke hari ini.

Menurut laporan akhbar tempatan, Berita Harian, Norizam atau dikenali sebagai Zamsaham menyasarkan untuk membina sebuah pusat latihan yang lengkap dengan tempat penginapan, padang sintetik, padang futsal dan fasiliti-fasiliti lain di atas tanah berkeluasan tidak kurang 10 hektar. 

Baca: TRW Kelantan FC Bakal Bina Pusat Latihan Setanding JDT

“Kita sudah buat permohonan sejak dua tahun lalu, namun hingga kini tidak tahu status permohonan sama ada dalam proses dipertimbangkan, diluluskan atau apa…”

“Kita bersangka baik mungkin sebab Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), tapi sekarang dah tak ada alasan sebab aktiviti sudah dibenarkan,” katanya seperti dipetik daripada portal akhbar terbabit.

Dimaklumkan, segala kos pembinaan pusat latihan tersebut akan ditanggung sepenuhnya oleh kelab dan hanya memerlukan kerjasama daripada pihak kerajaan negeri atau pihak berkaitan.

Selain itu, Norizam turut juga bersedia jika kerajaan negeri mahu membuat perjanjian bangun, guna, serah atau BOT (Build, Operate, Transfer) bagi kawasan yang akan dibangunkan.

“Kelab (Kelantan FC) dah lama, tapi tiada aset, ni kita nak buat aset. Kalau betul serius dalam membangunkan masa depan bola sepak negara, inilah caranya,” katanya lagi.

Difahamkan, Kelantan FC bercadang untuk mendirikan pusat latihan tersebut di Tumpat tetapi bertindak ‘menarik brek’. Ia berikutan kawasan tersebut sering dinaiki air apabila di musim hujan atau tengkujuh.

Featured Image: Kelantan FC

Komen