Penerima Vaksin Sinovac Wajib Ambil Dos Penggalak Untuk Tengok Bola Di Stadium
March 4, 2022 Hafizuddin Omar

Pengelola liga tempatan, Malaysian Football League (MFL) memaklumkan kalangan penonton yang menerima suntikan vaksin Sinovac diwajibkan mengambil dos penggalak sebagai syarat untuk masuk ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Liga Malaysia 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Stuart Ramalingam berkata pihaknya telah dimaklumkan berkenaan pembaharuan prosedur operasi standard (SOP) tersebut daripada Jabatan Belia dan Sukan Negara.

“Ingin dimaklumkan bahawa bagi penerima vaksin primer Sinovac berusia 18 tahun ke atas dan warga emas berusia 60 tahun ke atas yang menerima semua jenis vaksin perlu mendapatkan dos penggalak bagi mengekalkan status vaksinasi lengkap.

“Ini kerana tempoh masa yang ditetapkan sebelum ini iaitu 28 Februari 2022 kini dilanjutkan sehingga 31 Mac 2022 di mana status vaksinasi lengkap akan ditukarkan kepada tidak lengkap sekiranya belum mendapatkan dos penggalak.” katanya.

Sementara itu, bagi penerima lengkap vaksin Pfizer dan AstraZeneca tanpa suntikan dos penggalak yang berusia 60 tahun dan ke atas dikira status vaksinasi tidak lengkap sekiranya mereka masih tidak mengambil suntikan dos penggalak sehingga 31 Mac 2022.

Untuk kanak-kanak pula, hanya yang berumur 13 tahun ke atas sahaja dibenarkan masuk ke stadium jika lengkap dua dos vaksinasi.

Sebagai tambahan, berdasarkan ketetapan yang dibuat oleh pihak kerajaan, hanya penonton yang lengkap vaksinasi serta dos penggalak dibenarkan masuk ke stadium.

Featured Image: Malaysian Football League

Komen