Selangor MAC Pertahankan Kejuaraan MPFL Buat Kali Kedua Berturut-Turut
March 7, 2022 Hafizuddin Omar

Saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) musim ini menyaksikan juara bertahan, Selangor MAC berjaya mengesahkan kejuaraan selepas menewaskan Shah Alam City pada perlawanan ke-13 di Kompleks Sukan Panasonic, malam tadi.

Dalam perlawanan tersebut, skuad yang dikendalikan oleh Addy Shairullyzam itu meraih kemenangan 1-0 hasil jaringan Matheus Vasconcelos Silva pada babak pertama. Lebih manis, Selangor MAC mengesahkan kejuaraan musim ini dengan berbaki satu lagi perlawanan.

Untuk perlawanan terakhir MPFL musim ini, Selangor MAC dijadualkan menentang pencabar terdekatnya, Pahang Rangers FC, Ahad depan, pada Sirkit ke-9 kelak. Ketika ini, Pahang Rangers yang dibimbing oleh Gerard Casas itu turut mengesahkan statusnya sebagai naib juara dengan mengutip 32 mata daripada 13 perlawanan.

Sebagai rekod, Selangor MAC merupakan juara sulung bagi saingan MPFL (dahulunya dikenali sebagai Liga Futsal Kebangsaan) yang dianjurkan pada tahun 2019. Bagaimanapun, dua edisi berikutnya 2020 dan 2021 tidak dapat dijalankan ekoran pandemik Covid-19 yang melanda negara.

Featured Image: Football Association of Malaysia & Selangor MAC

Komen