Artikel

15 Pemain Dijangkiti Covid-19, Dua Perlawanan Terengganu vs Negeri Sembilan Ditunda

Dua perlawanan yang melibatkan pertembungan Terengganu FC menentang Negeri Sembilan FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SMAZA) diumumkan tunda oleh pengelola liga, Malaysian Football League (MFL), hari ini.

Ini disebabkan seramai 15 pemain serta pegawai skuad Hoben Jang Hoben dimaklumkan dijangkiti Covid-19. Penundaan ini selaras dengan peraturan baharu oleh MFL dimana kelab layak memohon penundaan perlawanan sekiranya 50% pemain dijangkiti virus ini.

Sepatutnya, kedua-dua pasukan dijadualkan berentap sesama sendiri pada esok (9 Mac) bagi aksi kedua Liga Super 2022. Manakala satu lagi pertembungan melibatkan kedua-dua pasukan dijadualkan pada Ahad nanti (13 Mac) untuk perlawanan pusingan pertama Piala FA 2022.

Bagaimanapun, tiada sebarang tarikh baharu diumumkan setakat ini. Terdahulu, Terengganu yang dikendalikan oleh Nafuzi Zain tidak beraksi pada perlawanan pertama Liga Super apabila 20 pemain dan pegawai pasukan lawannya, Sri Pahang FC dijangkiti Covid-19.

Dengan penundaan ini, Terengganu akan ‘berehat’ hampir sebulan. Perlawanan seterusnya, Terengganu akan menghadapi Petaling Jaya City FC (Pj City) di gelanggang lawan pada 6 April kelak.

komen