Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) mengumumkan akan menaik taraf padang yang digunakan pasukan simpanannya, JDT II di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos atau dikenali sebagai Stadium Larkin kepada rumput jenis ‘zeon zoysia’.
Satu pengumuman dibuat oleh Pengarah Teknikal JDT, Alistair Edwards pada hari ini dimana padang di stadium berkenaan bakal beralih dengan penggunaan jenis rumput yang sama dengan Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
Untuk makluman semua, stadium yang menjadi gelanggang pasukan utama JDT suatu masa dahulu itu masih menggunakan rumput jenis ‘cow grass’ sehingga ke hari ini.
Baca: Apakah Kegunaan Turf-Tec Stress Detection Glasses Yang Digunakan JDT?
Dalam kenyataan yang sama, stadium yang menjadi gelanggang kepada pasukan pelapis, JDT III iaitu Stadium Pasir Gudang serta padang-padang lain di Pusat Latihan JDT di Padang Seri Gelam (PSG) akan turut menggunakan rumput jenis ‘zeon zoysia’ setelah selesai kerja-kerja naik taraf di Stadium Larkin.

“Penambahbaikan ini adalah sebahagian daripada usaha kawalan kualiti berterusan kelab untuk memastikan fasiliti bola sepak JDT berada di tahap yang terbaik.” katanya seperti dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik skuad Harimau Selatan itu.
Pada ketika ini, Pusat Latihan JDT mempunyai padang yang menggunakan tiga jenis rumput yang berlainan iaitu ‘zeon zoysia‘, ‘cow grass‘ serta rumput tiruan (artificial turf).
Untuk pengetahuan semua, rumput jenis ‘zeon zoysia‘ menghasilkan rumput yang padat dan tebal serta mempunyai cengkaman akar yang kuat. Tambahan pula, ia mampu pulih dengan cepat dan sukar terkena ‘penyakit’ seperti kulat.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers