Artikel

“Very Good” – Ini Reaksi Penyerang Import Kelantan Dari Haiti Ketika Pertama Kali Merasai Budu

Budu atau sos ikan bilis merupakan sejenis perasa makanan yang amat popular dalam kalangan penduduk di negeri pantai timur semenanjung tanah air khususnya Kelantan dan Terengganu.

Malahan, mana-mana individu yang bukan berasal dari dua negeri ini, apabila menetap di Kelantan dan Terengganu pastinya akan ditawarkan oleh penduduk setempat untuk mencuba sos ini.

Perkara ini turut berlaku kepada penyerang import baharu Kelantan FC, Kervens Belfort yang merupakan kelahiran Haiti. Menerusi perkongsian di akaun Tiktoknya, Kervens cuba merasai budu tersebut bersama nasi yang dimakannya. 

Baca: Kelantan Ikat Seorang Lagi Import Selama 3 Tahun – Kervens Belfort Dari Haiti

Selepas menyuap nasi yang telah digaul bersama budu itu, Kervens, dengan tersenyum sambil mengangkat ibu jari dan berkata, “very good, budu the best.”

Reaksi yang diberikan oleh Kervens itu bagaikan mula menyukai sos peraman ikan bilis itu.

Untuk makluman semua, penyerang berusia 29 tahun ini ditandatangani oleh Kelantan FC dengan kontrak selama tiga tahun bermula Januari lalu. Dia merupakan pemain Abahani Limited Dhaka yang beraksi dalam saingan Liga Bangladesh, musim lepas.

Pada perlawanan pertama Liga Premier, Sabtu lalu, Kervens diturunkan dalam kesebelasan utama dan kelibatnya berhasil membantu skuad The Red Warriors itu mencetak kemenangan ke atas Johor Darul Ta’zim II (JDT II) di Stadium Tan Sri Dato’ Haji Hassan Yunos, Larkin.

Featured Image: TRW Kelantan FC

komen