Terbuka Jerman: Pearly-Thinaah Tewas ‘Straight Set’ Di Tangan Beregu Ke-43 Dunia Di Pusingan 32
March 9, 2022 Hafizuddin Omar

Beregu wanita No.1 negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan tersingkir awal apabila tumpas pada Pusingan 32 dalam saingan Terbuka Jerman 2022, pada hari ini.

Lebih mengejutkan, Pearly-Thinaah yang berada di ranking ke-15 dunia merangkap pilihan kelapan untuk menjuarai kejohanan ini tumpas kepada Julie Macpherson dan Ciara Torrance yang menghuni di ranking ke-43 dunia.

Bertambah perit, pasangan beregu dari Scotland itu menumpaskan Pearly-Thinaah secara ‘straight set’ dengan pungutan mata 21-17 dan 21-14 dalam tempoh masa permainan sekitar setengah jam sahaja.

Untuk rekod, ini merupakan pertemuan sulung melibatkan kedua-dua pasangan ini di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, Julie-Ciara yang memenangi perlawanan ini meneruskan kemaraan ke Pusingan 16. Menariknya, menanti mereka di sana adalah beregu bebas (independent) dari Malaysia, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen