Jaguh badminton perseorangan negara, Lee Zii Jia berhasil meneruskan kemaraan ke peringkat suku akhir dalam kejohanan Terbuka Jerman 2022.
Bagaimanapun, cabaran yang diberikan oleh lawannya, pemain Perancis yang menghuni ranking ke-62 iaitu Christo Popov agak hebat sehinggakan dia memerlukan tiga set permainan untuk menewaskannya di Pusingan 16.
Dalam perlawanan tersebut, Zii Jia yang diletakkan sebagai pilihan kelima untuk menjuarai kejohanan ini terlebih dahulu memenangi set pertama dengan keputusan 21-13.
Akan tetapi, Popov berhasil mencipta kebangkitan untuk menundukkan Zii Jia pada set kedua dengan keputusan 21-18 sekaligus mengheret permainan ke set penentuan.
Di set ketiga, Zii Jia memberikan fokus yang tinggi dan memperkemaskan permainannya sekaligus berhasil mengalahkan Popov dengan pungutan mata 21-12.
Untuk makluman semua, kedua-dua pemain ini tidak pernah bertemu lagi dalam mana-mana kejohanan sebelum ini.
Dengan kemenangan ini, Zii Jia bakal membuat perhitungan samada pemain China, Zhao Jun Peng (ranking ke-38) atau Republik Korea, Heo Kwang-hee (ranking ke-30) di peringkat suku akhir kelak bagi merebut tempat ke saingan separuh akhir.
Featured Image: Badminton Asia