Tak Mengapa Bolos Enam Gol, Penyokong Menikmatinya – Sinis Bojan Terhadap Pertahanan KL City
March 11, 2022 Hafizuddin Omar

Perlawanan Liga Super 2022 baru sahaja memasuki dua perlawanan namun juara Piala Malaysia musim lalu, Kuala Lumpur City FC (KL City) telah meletakkan diri mereka sebagai pasukan kedua tercorot jumlah gol dibolosi.

Untuk makluman, KL City telah dibolosi enam gol ketika bertemu Selangor FC dan Kedah Darul Aman FC pada perlawanan pertama dan kedua masing-masing yang mengakibatkan hanya satu mata sahaja dapat dikutip setakat ini. 

Sebagai perbandingan, hanya pendatang baharu Liga Super, Sarawak United FC sahaja mempunyai rekod bolos yang lebih teruk iaitu sebanyak tujuh gol.

Ketua jurulatih KL City, Bojan Hodak ketika mengulas mengenai  perkara berkenaan semasa sidang media selepas perlawanan di Stadium Darul Aman, Alor Setar dengan berselorohnya berkata, “Saya akan bawa rotan buluh semasa sesi latihan,”

Jurulatih berusia 50 tahun ini dengan sinisnya turut berkata, “Tidak (hukum pemain), saya akan lebih ‘lemah lembut’ dan ‘bersopan santun’ (dalam sesi latihan), tak mengapa kami bolos enam gol, para penyokong menikmatinya,”.

Tambahnya lagi, dengan situasi pasukannya menjaringkan lima gol dan bolos enam gol ini, ianya menyajikan perlawanan yang menarik dan menjadi satu pelaburan yang sangat baik buat para penyokong yang datang ke stadium dengan harga tiket RM20.

Bagaimanapun di pihak barisan kejurulatihan, pengendali kelahiran Croatia itu mengakui amat kecewa kerana bolos enam gol daripada dua perlawanan sedangkan pada tahun lalu, barisan pertahanan merupakan bahagian paling kukuh pasukan KL City.

Featured Image: Kuala Lumpur City

Komen