Artikel

Lee Zii Jia Melangkah Ke Separuh Akhir Terbuka Jerman Buat Pertama Kali Dalam Karier

Pemain perseorangan bebas (independent) negara, Lee Zii Jia berhasil melangkah ke peringkat separuh akhir saingan Terbuka Jerman – Jelajah Dunia Super 300 BWF – buat pertama kali dalam kariernya.

Kemaraan itu dirakamkan selepas pemain yang berada di ranking ketujuh dunia ini berjaya menumpaskan lawannnya, pemain China, Zhao Jun Peng pada peringkat suku akhir, sebentar tadi. 

Dalam perlawanan tersebut, Zii Jia yang merupakan pilihan kelima untuk menjuarai saingan ini meraih kemenangan ke atas pemain yang menghuni ranking ke-38 dunia itu secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-12 dan 21-18.

Sebagai rekod, ini merupakan pertarungan julung kalinya melibatkan Zii Jia dan Jun Peng di pentas antarabangsa.

Dengan kemenangan ini, Zii Jia akan bertemu samada pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn (ranking ke-20) atau pemain Jepun, Kenta Nishimoto (ranking ke-19) di peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada malam esok (waktu Malaysia).

Untuk makluman semua, ketika menyertai saingan Terbuka Jerman 2019 yang lalu, pemain badminton kelahiran Alor Setar, Kedah ini hanya mara setakat peringkat suku akhir sahaja.

Featured Image: Victor

komen