Terbuka Jerman: Vivian-Chiew Sien Sempat Beri Saingan Sengit Sebelum Disingkir Beregu No.1 Dunia
March 11, 2022 Hafizuddin Omar

Satu-satunya wakil beregu wanita negara di peringkat suku akhir Terbuka Jerman 2022, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien terpaksa akur tumpas kepada lawannya yang merupakan pasangan No.1 dunia.

Bagaimanapun, Vivian-Chiew Sien yang di ranking ke-61 dunia sempat memberikan cabaran sengit kepada Chen Qing Chen dan Jia Yi Fan yang merupakan pasangan beregu wanita dari China.

Dalam perlawanan tersebut, Vivian-Chiew Sien yang merupakan beregu bebas (independent) terlebih dahulu tumpas pada set pertama dengan keputusan 15-21 kepada juara Kejohanan Dunia BWF 2021 ini. 

Bagaimanapun, pasangan yang mula bergandingan sejak Oktober tahun lalu ini mula menunjukkan permainan yang garang pada set kedua sehingga mengheret Qing Chen-Yi Fan memasuki mata ‘deuce’ sebelum tumpas 20-22.

Namun, dengan tumpasnya di set kedua, Vivian dan Chiew Sien tidak dapat membuat perhitungan dengan Qing Chen dan Yi Fan di set ketiga atau penentuan. Untuk makluman semua, ini merupakan pertarungan pertama melibatkan kedua-dua beregu dari Malaysia dan China ini.

Sementara itu, Qing Chen-Yi Fan yang berjaya mara ke peringkat separuh akhir bakal berhadapan samada beregu China, Du Yue-Li Wen Mei (ranking ke-225) atau beregu Thailand, Jongkolphan Kititharakul-Rawinda Prajongjai (ranking ke-8) yang dijadualkan berlangsung pada malam esok (waktu Malaysia).

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen