Terbuka Jerman: Sze Fei-Izzuddin Ke Separuh Akhir Selepas Kalahkan Yew Sin-Ee Yi Buat Pertama Kali
March 12, 2022 Hafizuddin Omar

Pasangan badminton beregu lelaki naungan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Terbuka Jerman 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF.

Mereka melangkah ke peringkat tersebut selepas berhasil mengalahkan beregu bebas (independent) senegara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi dalam perlawanan peringkat suku akhir yang berlangsung tengah malam tadi.

Pertarungan melibatkan kedua-dua beregu ini mengambil masa sehingga 75 minit untuk disudahkan. Tiga set permainan disajikan kepada para penonton dan ianya berakhir dengan keputusan 21-15, 20-22 dan 21-19.

Lebih manis, ini merupakan kemenangan pertama diraih oleh Sze Fei-Izzuddin ke atas beregu yang menghuni ranking ke-11 dunia merangkap semi-finalis Kejohanan Dunia BWF 2021 itu.

Sementara itu, di peringkat separuh akhir nanti, Sze Fei-Izzuddin akan menentang beregu China yang menghuni ranking ke-1274 dunia iaitu He Ji Ting dan Zhou Hao Dong yang berusia 24 tahun masing-masing.

Berdasarkan rekod, Sze Fei-Izzuddin belum pernah berentap menentang Ji Ting-Hao Dong dalam mana-mana kejohanan antarabangsa setakat ini.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

Komen