Siri kejutan dalam saingan Terbuka Jerman 2022 diteruskan lagi dengan tersingkirnya pemenang pingat emas Sukan Olimpik 2020 merangkap pemain No.1 dunia, Viktor Axelsen di peringkat separuh akhir kategori perseorangan lelaki.
Pemain Denmark berusia 28 tahun itu terpaksa melupakan hasrat untuk merangkul kejuaraan saingan Jelajah Dunia Super 300 BWF ini selepas tumpas kepada pemain India, Lakshya Sen yang menghuni ranking ke-12 dunia.
Dalam perlawanan tersebut, Lakshya berhasil menumpaskan Viktor menerusi tiga set permainan yang berkesudahan dengan keputusan 21-13, 12-21 dan 22-20 dimana pertarungan ini mengambil masa selama 71 minit.
Sementara itu, Lakshya yang berhasil mara ke pentas akhir bakal membuat perhitungan dengan pemain Thailand, Kunlavut Vitidsarn yang menghuni ranking ke-20 dunia.
Vitidsarn menempatkan diri ke pentas akhir selepas mengalahkan jaguh badminton Malaysia, Lee Zii Jia di peringkat separuh akhir, semalam.
Sebagai rekod, saingan Terbuka Jerman 2022 ini menyaksikan tersingkirnya beberapa nama besar yang diletakkan sebagai pilihan utama untuk menjuarai kejohanan ini bermula dari Pusingan 32.
Antaranya, juara Kejohanan Dunia 2021, Loh Kean Yew, bekas pemain No.1 dunia, Kento Momota, pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020, Anthony Sinisuka Ginting serta beberapa pemain lain lagi merangkumi kategori-kategori yang lain.
Featured Image: Viktor Axelsen Instagram