Artikel

Beregu Goh Sze Fei & Nur Izzuddin Rangkul Kejuaraan Super 300 BWF – Terbuka Jerman 2022

Pasangan beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin muncul juara saingan Terbuka Jerman 2022 – Super 300 BWF – selepas berhasil menumpaskan beregu China di pentas akhir, awal pagi ini.

Kemenangan yang dirangkul oleh Sze Fei-Izzuddin yang menghuni ranking ke-17 dunia ini tercipta selepas mengharungi tiga set permainan.

Dalam perlawanan tersebut, gandingan China, Liu Yu Chen dan Ou Xuan Yi itu tumpas kepada Sze Fei-Izzuddin dengan keputusan 23-21, 16-21 dan 21-14 dalam tempoh masa pertarungan yang menjangkau 70 minit permainan.

Sebagai rekod, Sze Fei-Izzuddin mara ke pentas akhir selepas mengetepikan beregu China, He Ji Ting-Zhou Hao Dong (separuh akhir), beregu Malaysia, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (suku akhir), beregu Denmark, Joel Eipe-Daniel Lundgaard (Pusingan 16) dan beregu Malaysia, Man Wei Chong-Tee Kai Wun (Pusingan 32).

Untuk makluman semua, ini merupakan kejuaraan pertama yang dirangkul oleh Sze Fei-Izzuddin dalam siri kejohanan Jelajah Dunia BWF dalam karier mereka. Kejohanan terakhir yang pernah dirangkul mereka sebelum ini adalah saingan Cabaran Antarabangsa Malaysia pada tahun 2017.

Featured Image: Badminton Association of Thailand

komen