Tiada belas kasihan ditunjukkan oleh Juara Liga Super lapan kali berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) ketika bertemu pasukan Liga M3, BRM FC pada perlawanan Pusingan 1 Piala FA di Stadium Sultan Ibrahim, semalam.
Skuad yang dikendalikan oleh Benjamin Mora itu membariskan kesebelasan utamanya dengan menurunkan sebahagian besar tonggak utama pasukan sekaligus berhasil meraih kemenangan besar 10-0 ke atas pasukan yang berpangkalan di Kuala Kangsar, Perak itu.

Kapten dan pertahanan BRM FC, Azmeer Yusof menerima kekalahan tersebut namun menerusi satu video di akaun Tiktok, dia menyatakan pendekatan skuad Harimau Selatan menurunkan hampir kesemua pemain import dan naturalisasi bertemu pasukannya adalah satu tindakan yang tidak adil.
“Kitorang dapat main (atas) JDT punya padang pun satu rahmat untuk kitorang, so kitorang jadikan satu pengalaman walaupun kena 10-0 (atau) 20-0,”
“Tetapi untuk aku not fair-lah, kau turunkan segala player import dan naturalisasi (lawan) kitorang ni yang player tak cukup pengalaman,”
“Dia macam inilah, lawan dengan pasukan (Liga) M3 (terdiri) 100% pemain tempatan, sepatutnya waktu inilah coach (Benjamin Mora) korang turunkan pemain-pemain tempatan juga daripada JDT, tetapi nak buat macam mana kan,” ulasnya ketika menjawab pertanyaan oleh seorang pengguna Tiktok yang lain.
Dalam perlawanan tersebut, JDT mencetak kemenangan besar itu hasil jaringan hatrik oleh Fernando Forestieri serta satu jaringan oleh Safiq Rahim, Safawi Rasid, Mauricio Dos Santos, Moussa Sidibé, Daryl Sham, Mohamadou Sumareh dan Danial Amir masing-masing.
Tambah bekas pertahanan yang pernah beraksi dengan beberapa pasukan Liga Super suatu masa dahulu itu lagi, walaupun tumpas dengan jaringan besar, pemain-pemain BRM FC telah berikan yang terbaik dan tidak bermain dengan formasi ‘parking bas’ serta permainan terbuka.
Featured Image: JOHOR Southern Tigers