Artikel

Celebrity Fitness Jadi Rakan Kecergasan Rasmi Skuad Senior Lelaki Kebangsaan 2022-23

Pengendali rangkaian pusat kecergasan terbesar di Malaysia dengan 22 rangkaian gimnasium di Kuala Lumpur dan Johor, Celebrity Fitness diangkat menjadi Rakan Kecergasan Rasmi Skuad Senior Lelaki Kebangsaan 2022-2023.

Ia susulan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan Celebrity Fitness mengumumkan jalinan kerjasama, pada hari ini. Dengan ini, Celebrity Fitness akan menyediakan gimnasium dan peralatan kecergasan untuk digunakan oleh skuad senior lelaki kebangsaan terutamanya semasa fasa tiada kejohanan, latihan atau ‘off period’.

“Walaupun kami juga mempunyai gymnasium sendiri yang digunakan sebelum ini termasuk di Institut Sukan Negara (ISN) dan gimnasium KHM sendiri di Stadium Hoki Nasional 2, penglibatan Celebrity Fitness amat dialu-alukan bagi memberi nilai tambah selain membolehkan pemain terus berlatih pada masa tiada kejohanan.

“Malahan, pemain sudah mula menggunakan kemudahan di Celebrity Fitness berdekatan di Endah Parade dan memberi reaksi positif, terutama dalam apsek kebersihan, peraturan ketat SOP untuk keselamatan kesihatan dalam masa pandemik dan sebagainya,” kata ketua jurulatih skuad senior lelaki kebangsaan, A. Arulselvaraj dalam majlis yang berlangsung di Ibu Pejabat MHC.

Dalam majlis yang sama, MHC turut mengumumkan perlantikan jurulatih kerjasama, Tom Drowley sebagai Ketua Jurulatih Kecergasan dan Suaian Fizikal, skuad senior kebangsaan.

Untuk makluman semua, Tom berusia 35 tahun dari United Kingdom mempunyai pengalaman lebih sedekah dalam sukan elit termasuk tenis antarabangsa, ragbi profesional serta tujuh tahun pengalaman sebagai pakar fizikal skuad hoki Britain yang telah membuat penampilan di peringkat dunia dan Sukan Olimpik.

komen