Artikel

Pan-gon Panggil MOTM Piala Malaysia, Zhafri Yahya Sertai Latihan Harimau Malaya

Ketua jurulatih skuad kebangsaan Malaysia, Kim Pan-gon mengumumkan memanggil ‘Man of The Match’ (MOTM) Piala Malaysia 2021 merangkap pemain tengah Kuala Lumpur City FC (KL City) menyertai latihan kebangsaan.

Perkara tersebut dimaklumkan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) yang dikongsikan di pelbagai platform media sosialnya, sebentar tadi. Sebelum ini, pemain berusia 27 tahun kelahiran Selangor ini suda tersenarai dalam Senarai Bersedia. 

Bagaimanapun, Pan-gon memanggilnya bagi menggantikan penyerang Petaling Jaya City FC (PJ City) yang terpaksa digugurkan ekoran didapati positif Covid-19 menerusi keputusan ujian PCR yang diterima, pada pagi tadi.

“Walaupun Darren berposisi penyerang, Zhafri disenaraikan untuk membolehkan panel jurulatih meninjau kemampuannya menyusun gerak dari penjuru bahagian tengah.” kata jurulatih kelahiran Republik Korea itu.

Sebagai tambahan, ini merupakan panggilan menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan yang pertama buatnya.

Untuk makluman semua, ketika ini, skuad kebangsaan sedang giat menjalani latihan pusat bermula semalam di Stadium Nasional Bukit Jalil bagi mempersiapkan diri sebelum menghadapi perlawanan menentang Singapura, Filipina dan Albirex Niigata FC Singapore.

Ketiga-tiga perlawanan ini dijadualkan berlangsung pada 23, 26 dan 28 Mac masing-masing di negara sebarang tambak tersebut. 

komen