Artikel

Ranking BWF: Kedudukan Juara Terbuka Jerman, Sze Fei-Izzuddin Kekal No.17 Dunia

Beregu lelaki negara, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin berjaya merangkul kejuaraan Terbuka Jerman 2022 – Jelajah Dunia Super 300 BWF dengan menumpaskan beregu China pada perlawanan akhir, awal pagi Isnin lalu.

Bagaimanapun, kejuaraan yang diraih itu belum cukup untuk melonjakkan kedudukan pasangan berusia 24 tahun masing-masing itu untuk menduduki ranking dunia yang lebih tinggi, pada minggu ini.

Menerusi kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, Sze Fei-Izzuddin kekal berada dalam kalangan ‘Top 20’ dengan menghuni tangga ke-17 dunia dengan kutipan 60,494 mata secara keseluruhan.

Sementara itu, satu pasangan beregu lelaki Malaysia dikesan meraih peningkatan dalam kedudukan ranking dunia iaitu Tan Wee Kiong dan Tan Kian Meng. Walaupun kandas seawal di Pusingan 32 dalam kejohanan Terbuka Jerman, Wee Kiong-Kian Meng meraih peningkatan lima anak tangga sekaligus menghuni ranking ke-105.

Manakala untuk beregu-beregu lelaki Malaysia yang lain, tiada sebarang perubahan kelihatan. Aaron Chia-Soh Wooi Yik masih kekal di kedudukan ke-7 dunia dan diikuti oleh Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di kedudukan ke-11 dunia. Tidak dilupakan, Man Wei Chong-Tee Kai Wun juga kekal di kedudukan ke-45 dunia.

komen