Pengerusi BN Tak Minat Terlibat Dalam Persatuan Bola Sepak – Setuju Ianya Dipimpin Bekas Pemain
March 15, 2022 Hafizuddin Omar

Pengerusi Barisan Nasional (BN) merangkap bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menyatakan dirinya tidak mahu terlibat dalam mana-mana persatuan bola sepak pada ketika ini.

Beliau yang juga merupakan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu membuat penafian berkenaan selepas namanya dicanang oleh beberapa laporan media sebagai calon baharu presiden bagi Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) menerusi laman Facebook-nya, pada hari ini.

Beliau dicalonkan untuk menggantikan Presiden KLFA pada waktu ini, YB Khalid Abdul Samad merangkap Ahli Parlimen Shah Alam. Selain Zahid, Menteri Wilayah Persekutuan, Dato’ Seri Dr. Shahidan Kassim merangkap Ahli Parlimen Arau turut dikaitkan dengan jawatan itu.

“Maka terpaksalah saya akui suatu ketika dulu skil permainan bola sepak saya hampir menyamai Lionel Messi atau belakang sedikit berbanding Karim Benzema.”

Zahid ketika merasmikan majlis pelancaran pasukan bola sepak PDRM pada tahun 218.

“Tetapi itu tidaklah bermakna saya mengidamkan jawatan presiden mana-mana persatuan bola sepak dalam negara sedangkan ada perkara lebih mustahak untuk diutamakan.”

“Saya tidak berminat untuk terlibat dalam mana-mana persatuan bolasepak biarpun pernah menjadi Presiden PAFA (Perak).”

“Saya juga pernah terlibat menjulangkan nama pasukan bolasepak ATM & PDRM sewaktu menjadi Menteri Pertahanan dan Menteri Dalam Negeri ketika itu.”

“Justeru, saya menafikan laporan media tertentu saya adalah calon baharu Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA) yang memenangi Piala Malaysia tahun lalu,” tulisnya.

Paling mencuri perhatian, seorang pengikut laman sosialnya yang bernama Man Puyuh meninggalkan komen, mencadangkan bekas pemain bola sepak untuk menjadi presiden persatuan bola sepak. Perkara tersebut pantas dipersetujui oleh Zahid menerusi balasan di ruang komen yang sama.

Dimaklumkan, ahli politik berusia 69 tahun itu memaklumkan mahu menumpukan perhatian terhadap tugasannya selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO dengan sebaik mungkin.

Featured Image: Barisan Nasional

Komen