Kelab gergasi Sepanyol, FC Barcelona mengumumkan kerjasama jangka masa panjang bersama platform servis penstriman audio secara langganan paling popular di dunia, Spotify secara rasminya, pada hari ini.
Selari dengan pengumuman tersebut, syarikat yang berasal dari Sweden itu diangkat menjadi Rakan Utama Kelab serta Rakan Penstriman Audio Rasmi Kelab buat pasukan yang terkenal dengan julukan Blaugrana ini.
Selain itu, kerjasama ini bakal menyaksikan logo Spotify akan tertera di hadapan jersi pasukan lelaki dan wanita Barcelona bermula musim 2022-23 dan empat musim berikutnya.
Dikhabarkan logo jenama ini juga akan tertera di jersi latihan pasukan ini bermula musim 2022-23 serta tiga musim berikutnya. Jenama Spotify itu menggantikan jenama Rakuten dan Beko yang menghiasi jersi pasukan dan latihan Barcelona sebelum ini.
Buat pertama kalinya dalam sejarah, hasil perjanjian ini turut menyaksikan gelanggang keramat milik Barcelona yang berkapasiti hampir 100,000 penonton dijenamakan menjadi Spotify Camp Nou bermula Julai 2022.
Kedua-dua pihak samada Barcelona mahupun Spotify tidak memaklumkan butiran kewangan mengenai kerjasama ini namun memetik laporan portal penyiaran sukan berpangkalan di Amerika Syarikat, ESPN, satu sumber memaklumkan perjanjian ini dipercayai bernilai €280 juta secara keseluruhan.
Sementara itu, menurut makluman tambahan oleh kelab, perjanjian kerjasama ini telah diluluskan dan ditandatangani oleh Ahli Lembaga Pengarah (BOD) FC Barcelona. Namun begitu, ianya tertakhluk kepada ratifikasi oleh ‘Extraordinary Delegate Members Assembly’ yang akan berlangsung pada 3 April nanti menerusi satu prosedur undian secara elektronik.