Beregu Vivian-Chiew Sien Dipromosi Sertai Kejohanan All England 2022 Pada Saat Akhir
March 16, 2022 Hafizuddin Omar

Nama pasangan beregu wanita bebas (independent) negara, Vivian Hoo dan Lim Chiew Sien hanya berada di tempat kelima dalam senarai ‘reserved’ bagi kategori wanita di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022.

Bagaimanapun, disebabkan lima pasangan wanita yang telah layak untuk beraksi di kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 BWF itu menarik diri, nama Vivian-Chiew Sien tersenarai sekaligus bakal beraksi di Pusingan 32 yang bermula pada hari ini.

Tangkap layar lima pemain beregu wanita ‘reserved’ teratas mengikut M&Q Report.

Berdasarkan kepada undian, Vivian-Chiew Sien yang mara sehingga ke peringkat suku akhir Terbuka Jerman pada minggu lalu bakal menentang beregu No.3 dunia dari Republik Korea merangkap pemenang pingat gangsa Sukan Olimpik 2020, Kim Soyeong dan Kong Heeyong.

Untuk makluman semua, ini juga menjadi debut Vivian-Chiew Sien di pentas All England memandangkan kedua-dua pemain ini mula membentuk gandingan sejak Oktober tahun lalu.

Selain daripada pasangan yang menghuni ranking ke-48 dunia ini, empat lagi pasangan yang mendapat promosi ke Pusingan 32 ialah Meghana Jakkampudi-Poorvisha S. Ram (India), Treesa Joly-Pullela Gayatri Gopichand (India), Margot Lambert-Anne Tran (Perancis) dan Jaqueline Lima-Sania Lima (Brazil).

Manakala lima pasangan yang menarik diri ialah Chisato Hoshi-Aoi Matsuda (Jepun), Mayu Matsumoto-Wakana Nagahara (Jepun), Anastasiia Akchurina-Olga Morozova (Rusia/Tidak Dibenarkan Beraksi), Julie Finne-Ipsen-Mia Surrow (Denmark) dan Amalie Magelund-Freja Ravn (Denmark).

Komen