Beregu lelaki bebas (independent) negara, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi menjadi pasangan Malaysia yang pertama berjaya melangkah ke Pusingan 16 dalam Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022.
Ini selepas Yew Sin-Ee Yi yang menghuni ranking ke-11 dunia merangkap pilihan kelapan untuk menjuarai kejohanan ini berhasil mengalahkan beregu tuan rumah, Callum Hemming dan Steven Stallwood di Pusingan 32 yang berlangsung di Gelanggang 2, Utilita Arena, Birmingham, sebentar tadi.
Yew Sin-Ee Yi ternyata bukan tandingan buat beregu England yang menduduki ranking ke-50 dunia itu. Dalam tempoh 29 minit sahaja, Yew Sin-Ee Yi berjaya mengalahkan mereka secara ‘straight set’ dengan keputusan 21-14 dan 21-12.
Sebagai rekod, mereka pernah berentap sebanyak satu kali sebelum ini di kejohanan Terbuka Perancis 2021. Pertarungan ini turut dimenangi oleh Yew Sin-Ee Yi dengan keputusan 21-8 dan 21-8 dalam tempoh masa 21 minit permainan.
Di Pusingan 16 kelak, Yew Sin-Ee Yi bakal menantikan cabaran daripada beregu Indonesia samada Muhammad Shohibul Fikri-Bagas Maulana (ranking ke-28 dunia) atau Pramudya Kusumawardana-Yeremia Erich Yoche Yacob Rambitan (ranking ke-21 dunia).
Featured Image: Badminton Association of Malaysia