Artikel

All England 2022: Juara Dunia Perlukan Lebih Sejam Tundukkan Beregu Muda Wei Chong-Kai Wun

Beregu lelaki muda negara, Man Wei Chong dan Tee Kai Wun melakukan debut di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022 dengan menentang juara Kejohanan Dunia BWF 2021, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi.

Di atas kertas, Wei Chong-Kai Wun yang menduduki ranking ke-45 dunia dilihat beregu yang mudah untuk ditewaskan oleh beregu dari Jepun yang menduduki ranking ke-4 dunia itu.

Namun begitu, perlawanan yang berlangsung pada awal pagi tadi menyaksikan pemain berusia 22 dan 21 tahun masing-masing ini tumpas pada set pertama dengan skor 17-21 berhasil bangkit untuk meraih kemenangan di set kedua dengan skor 21-18 sekaligus membawa kepada set penentuan.

Di set penentuan, Wei Chong-Kai Wun memberikan tentangan sengit sehingga mata ‘deuce‘ sebelum Hoki-Kobayashi memenanginya dengan skor 23-21. Untuk makluman semua, perlawanan ini berlangsung dalam tempoh 65 minit permainan.

Sebagai tambahan, pertarungan antara Wei Chong-Kai Wun menentang Hoki-Kobayashi ini merupakan yang pertama di pentas antarabangsa.

Sementara itu, Hoki-Kobayashi yang berjaya mara ke Pusingan 16 bakal menentang beregu tuan rumah, Ben Lane dan Sean Vendy.

Featured Image: Badminton Association of Malaysia

komen