Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022 memperlihatkan pertembungan semula antara jaguh badminton perseorangan negara merangkap juara bertahan, Lee Zii Jia dan bekas pemain No.1 dunia, Kento Momota di peringkat suku akhir – sama seperti edisi lalu.
Zii Jia yang merupakan pemain di ranking ketujuh dunia berhasil menempah tiket ke peringkat suku akhir selepas berjaya menundukkan pemain muda Kanada, Brian Yang secara ‘straight set’ dengan skor 26-24 dan 21-11 dalam tempoh masa 45 minit permainan di Pusingan 16, awal pagi tadi.
Sementara itu, Momota dari Jepun pula melayakkan diri ke peringkat suku akhir selepas menyingkirkan pemain Korea yang menghuni ranking ke-30 dunia, Heo Kwang-hee juga secara ‘straight set’ dengan skor 21-16 dan 21-12 dalam tempoh masa 42 minit permainan.
Sebagai rekod, Zii Jia dan Momota telah pernah berentap sesama sendiri sebanyak 10 kali sebelum ini di pelbagai kejohanan antarabangsa. Bagaimanapun, hanya dua kemenangan sahaja berpihak kepada Zii Jia berbanding bakinya yang lain dimenangi oleh Momota.
Salah satu kemenangan ke atas Momota itu terhasil dalam perlawanan suku akhir All England edisi lalu. Manakala, satu lagi kemenangan dicatatkan oleh Zii Jia ketika menentang Momota dalam saingan Piala Sudirman 2021.
Untuk makluman semua, Zii Jia dan Momota dijadualkan beraksi pada perlawanan keenam di Gelanggang 1, pada malam ini.