Beregu bebas (independent), Tan Kian Meng dan Lai Pei Jing menjadi satu-satunya wakil beregu campuran Malaysia yang berjaya meloloskan diri ke peringkat suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022.
Pasangan yang menghuni ranking kesepuluh dunia ini mara selepas menyingkirkan beregu Thailand, Supak Jomkoh-Supissara Paewsampran secara ‘straight set’ dengan skor 21-19 dan 21-17 dalam tempoh masa 38 minit di Pusingan 16, awal pagi tadi.
Kemenangan itu membolehkan mereka melangkah ke suku akhir dan lawan yang perlu dihadapi oleh Kian Meng-Pei Jing di peringkat ini adalah bekas beregu No.1 dunia dari China, Zheng Si Wei dan Huang Ya Qiong yang kini menghuni ranking kedua dunia.
Si Wei-Ya Qiong yang juga pemenang pingat perak Sukan Olimpik 2020 mara ke suku akhir selepas menumpaskan beregu campuran Malaysia, Ong Yew Sin dan Goh Liu Ying. Mereka menumpaskannya secara ‘straight set’ dengan skor 21-5 dan 21-15 dalam tempoh masa tidak sampai setengah jam.
Berdasarkan rekod, Kian Meng-Pei Jing pernah bertemu Si Wei-Ya Qiong sebanyak lima kali sebelum ini. Bagaimanapun, Kian Meng-Pei Jing belum pernah merekodkan sebarang kemenangan ke atas beregu campuran China ini.
Kedua-dua pasangan ini dijadualkan berentap pada perlawanan ke-9 di Gelanggang 2. Mampukah Kian Meng-Pei Jing mencipta kejutan dan melangkah peringkat separuh akhir pada awal pagi esok?