Beregu wanita utama negara, Pearly Tan dan Thinaah Muralitharan dihalang daripada mencipta rekod dalam karier mereka, mara ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) buat pertama kali.
Ini disebabkan pasangan yang menduduki ranking ke-15 dunia itu ditumpaskan oleh beregu Korea yang menghuni ranking ke-64 dunia, Jeong Na-eun dan Kim Hye-jeong pada peringkat suku akhir, sebentar tadi.
Pada mulanya, pertarungan sulung melibatkan kedua-dua beregu ini berkesudahan dengan Pearly-Thinaah memenangi set pertama dengan skor 21-15. Bagaimanapun, Pearly-Thinaah hilang rentak sedikit demi sedikit bermula set kedua sekaligus tumpas dengan skor 17-21 dan 9-21.
Untuk makluman semua, kemaraan Pearly-Thinaah ke suku akhir saingan Jelajah Dunia Super 1000 BWF ini menyamai pencapaian ketika menyertainya buat pertama kali pada edisi lalu yang turut berakhir di peringkat yang sama.
Sementara itu, Na-eun dan Hye-jeong akan bertemu beregu Jepun, Nami Matsuyama dan Chiharu Shida, beregu ketujuh dunia di peringkat separuh akhir yang dijadualkan berlangsung pada malam esok.
Featured Image: Badminton Association of Malaysia