Video: Zii Jia Singkir Bekas Pemain No.1 Dunia, Mara Ke Separuh Akhir All England 2022
March 19, 2022 Hafizuddin Omar

Jaguh badminton perseorangan negara merangkap juara bertahan, Lee Zii Jia berhasil menumpaskan bekas pemain No.1 dunia, Kento Momota sekaligus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022.

Dalam perlawanan suku akhir tersebut, Zii Jia yang menghuni ranking ketujuh dunia terlebih dahulu memenangi set pertama dengan skor yang cukup selesa 21-7. Namun, Momota bangkit pada set kedua untuk merekodkan kemenangan dengan skor 21-13 sekaligus mengheret Zii Jia ke set penentuan.

Semasa di set penentuan, pertembungan antara Zii Jia dan Momota berlangsung dengan cukup sengit. Akan tetapi, selepas daripada ‘interval’ Zii Jia mendapat rentaknya dan berhasil menamatkannya dengan skor 21-11 sekaligus menyingkirkan Momota daripada kejohanan Jelajah Dunia Super 1000 BWF ini.

Untuk makluman semua, ini merupakan kemenangan ketiga daripada sebelas perlawanan dicatatkan Zii Jia ke atas Momota yang kini menghuni ranking No.2 dunia.

Sebagai tambahan, kali pertama Zii Jia beraksi di kejohanan badminton tertua di dunia ini adalah pada tahun 2020 dan pencapainnya di edisi tersebut adalah mara ke peringkat separuh akhir.

Komen