Artikel

All England 2022: Beregu No.1 Dunia, The Minions Tumpas Kepada Pasangan Muda Senegara

Satu kejutan dilakar di Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022 apabila pasangan beregu lelaki No.1 dunia, Marcus Fernaldi Gideon dan Kevin Sanjaya Sukamuljo terkandas di peringkat separuh akhir.

Lebih mengejutkan, gandingan Marcus-Kevin yang terkenal dengan julukan ‘The Minions’ itu tumpas kepada beregu muda senegaranya yang berada di ranking ke-28 dunia, Muhammad Shohibul Fikri dan Bagas Maulana.

Perlawanan yang berlangsung di Utilita Arena Birmingham sebentar tadi menyaksikan Marcus-Kevin merangkap juara All England 2017 dan 2018, tumpas dengan skor 22-20, 12-21 dan 21-16 dalam tempoh masa yang menghampiri satu jam permainan.

Untuk makluman semua, sebelum menyingkirkan Marcus-Kevin, pasangan berusia 22 dan 23 tahun masing-masing ini turut menyingkirkan beregu juara Kejohanan Dunia BWF dari Jepun, Takuro Hoki dan Yugo Kobayashi di peringkat suku akhir.

Sebelum itu, mereka turut menghantar beregu No.2 Malaysia merangkap pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia BWF, Ong Yew Sin dan Teo Ee Yi pulang daripada saingan All England di Pusingan 16.

Sementara itu, dengan kejayaan menyingkirkan The Minions, Muhammad Shohibul-Bagas Maulana berhasil meloloskan diri ke pentas akhir saingan All England buat pertama kali dalam karier mereka.

Menanti mereka di peringkat tersebut adalah samada satu lagi beregu senegaranya, Hendra Setiawan-Mohammad Ahsan merangkap beregu No.2 dunia atau beregu China, He Je Ting-Tan Qiang.

komen