Artikel

Filipina Panggil 5 Pemain Liga Super Untuk Hadapi Malaysia & Singapura

Seramai lima pemain yang beraksi dalam saingan Liga Super Malaysia dipanggil untuk menyertai skuad kebangsaan Filipina bagi mengharungi dua perlawanan antarabangsa, minggu hadapan.

Skuad yang terkenal dengan julukan The Azkals ini bakal berhadapan dengan Malaysia yang dibimbing oleh Kim Pan-gon serta Singapura pada 23 dan 29 Mac masing-masing kelak.

Lima pemain yang terpilih itu terdiri daripada penjaga gol, Kevin Ray Mendoza (KL City), pertahanan, Carli de Murga (JDT), Justin Baas (Melaka United), pemain tengah, Manuel Ott (Terengganu) serta penyerang, Bienvenido Maranon (JDT).

Selain itu, Filipina turut memanggil lapan pemain yang beraksi dalam kancah Liga Thailand, seorang pemain daripada Liga Kemboja serta empat pemain liga domestiknya.

Paling mencuri tumpuan, Filipina turut memperkuatkan lagi skuadnya dengan penyenaraian penjaga gol Birmingham City yang beraksi dalam kancah Liga Kejuaraan Inggeris, Neil Etheridge serta penyerang Vfl Bochum yang bersaing di Bundesliga, Gerrit Holtmann.

Untuk makluman, kedua-dua perlawanan menentang Malaysia dan Singapura itu akan diadakan di National Stadium, Singapore Sports Hub dengan sepak mula dijadualkan pada jam 8 malam.

Featured Image: JOHOR Southern Tigers

komen