Ketua jurulatih Sri Pahang FC, Christophe Gamel akan membariskan kesebelasan terbaik walaupun sekadar berhadapan dengan pasukan Liga M3, Manjung City pada pusingan pertama Piala FA 2022, Rabu ini.
Pengendali kelahiran Perancis berusia 49 tahun itu melihat perlawanan ini sebagai peluang terbaik untuk menyaksikan kemampuan para pemainnya. Lebih-lebih lagi selepas Sri Pahang FC tidak dapat beraksi sejak sepak mula Liga Malaysia, 4 Mac lalu gara-gara penularan Covid-19 di dalam pasukan.
“Sri Pahang akan turunkan skuad yang terbaik kerana pemain perlukan perlawanan kompetitif sebagai usaha mendapatkan minit permainan serta mencipta keserasian dalam kalangan mereka.
“Ekoran masalah COVID-19, kami berdepan kekangan untuk melihat sejauh mana tahap kecergasan pemain apabila tiga perlawanan terdahulu ditangguhkan.
“Namun, semangat pemain tidak pernah pudar walaupun berehat begitu lama dan semangat mereka semakin membuak menjelang aksi Piala FA, ” katanya.
Sri Pahang pada musim ini mempertaruhkan ramai muka baharu tidak kira kalangan pemain import atau tempatan. Antaranya, Mamadou Samassa, Billy Ketkeophomphone, Johan Martial, David Rowley, Azwan Aripin, Faizal Arif dan beberapa nama lain lagi.
Disebalik pelbagai nama-nama tersebut, Gamel mengakui beliau masih belum mendapat kombinasi yang terbaik di dalam skuad Sri Pahang namun yakin masalah berkenaan mampu diatasi.
“Ada kalanya kombinasi pemain yang saya gunakan mampu mencapai seperti yang diinginkan tetapi tidak konsisten ekoran pelbagai masalah yang melanda seperti COVID-19, kecederaan selain masalah cuaca.
“Namun saya lihat pasukan lain juga berdepan masalah sama dalam mencari kombinasi terbaik dan perkara ini sudah tentu mengambil masa.
“Apa yang penting ialah pemain berada di tahap terbaik dari segi moral serta fokus dalam latihan, saya yakin berdasarkan masa yang kami ada, kombinasi yang diinginkan mampu tercapai,” katanya.
Untuk makluman semua, perlawanan antara Sri Pahang menentang Manjung City ini akan dilangsungkan di Stadium Darul Makmur, Kuantan dengan sepak mula jam 8.15 malam.