Artikel

Hakimi, Sharul ‘Afro’ & Hong Wan Disisihkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya

Ketua jurulatih Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengumumkan senarai 25 pemain yang dibawa untuk beraksi pada FAS Tri-Nations Series 2022 menentang Singapura dan Filipina di Stadium Nasional, Singapura pada 23 dan 26 Mac kelak.

Pengumuman ini dimaklumkan secara rasmi menerusi satu siaran media yang dikongsikan di pelbagai platform media sosial milik badan induk bola sepak negara itu, pada hari ini.

Daripada 30 pemain yang disenaraikan untuk menyertai kem latihan pusat bermula Isnin lalu di Stadium Nasional Bukit Jalil, Pan-gon telah menyisihkan tiga nama iaitu Hakimi Abdullah (Terengganu FC), Sharul Nazeem Zulpakar atau dikenali sebagai ‘Afro’ (Selangor FC) dan Nathaniel Shio Hong Wan (Johor Darul Ta’zim).

Selain itu, beberapa pemain lain seperti Syahmi Safari (Johor Darul Ta’zim), Darren Lok (PJ City), Nazmi Faiz Mansor (Johor Darul Ta’zim) dan Rahadiazli Rahalim (Terengganu FC) pula tidak melaporkan diri atas alasan peribadi serta digugurkan ekoran dijangkiti Covid-19 dan kecederaan.

Sementara itu, dua pemain yang berpangkalan di luar negara, Liridon Krasniqi (Odisha FC) dan Dion Cools (SV Zulte Waregem) pula akan menyertai skuad Harimau Malaya di Singapura nanti.

Untuk  makluman semua, skuad Harimau Malaya dijadualkan berlepas ke negara jiran tetangga pada hari esok (Selasa, 22 Mac).

komen