Artikel

Ranking BWF: Kedudukan Aaron-Wooi Yik, Sze Fei-Izzuddin Menurun, Dipintas Beregu India & China

Pasangan beregu lelaki utama negara, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik mencatatkan penurunan satu anak tangga dalam kedudukan ranking dunia pada minggu ini.

Hasil daripada kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, beregu yang memenangi pingat gangsa di temasya Sukan Olimpik 2020 kini menghuni ranking ke-8 dunia.

Ini disebabkan mereka tersingkir di Pusingan 16 Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) 2022 setelah tumpas kepada beregu China, He Ji Ting dan Tan Qiang, pada minggu lalu.

Sementara itu, tempat ketujuh itu kini menjadi milik beregu India yang sedang meningkat naik, Satwiksairaj Rankireddy (21 tahun) dan Chirag Shetty (24 tahun) yang berhasil mara sehingga ke peringkat suku akhir All England.

Manakala, kedudukan satu lagi beregu lelaki Malaysia, Goh Sze Fei dan Nur Izzuddin yang tersingkir di Pusingan 32 All England turut mengalami nasib yang sama.

Pasangan yang menjuarai Terbuka Jerman, dua minggu lalu, kini menghuni ranking ke-18 dunia. Untuk makluman semua, kedudukan ke-17 yang dihuni Sze Fei-Izzuddin selama 13 minggu lalu menjadi milik Ji Ting-Tan Qiang yang menumpaskan mereka di Pusingan 32.

Bagaimanapun, dua beregu negara yang lain, Man Wei Chong-Tee Kai Wun serta Tan Kian Meng-Tan Wee Kiong dilihat meraih peningkatan dimana mereka kini berada di kedudukan ke-44 dan ke-89 dunia, minggu ini.

komen