Kemaraan ke Pusingan 16 dalam Kejohanan Badminton Terbuka Seluruh England (All England) pada minggu lalu memberikan peningkatan ranking yang mendadak kepada beregu campuran Ong Yew Sin dan Goh Liu Ying.
Berdasarkan kemaskini terbaru oleh Persekutuan Badminton Dunia (BWF) pada hari ini, beregu yang membentuk gandingan bermula awal tahun ini mencatatkan peningkatan sebanyak 531 anak tangga sekaligus menduduki ranking ke-235 dunia, minggu ini.
Sebagai rekod, Yew Sin-Liu Ying bermula dengan ranking ke-766 selepas daripada menyertai saingan Terbuka Jerman dua minggu yang lalu.
Sementara itu, sepasang lagi beregu campuran negara yang turut meraih peningkatan adalah gandingan Hoo Pang Ron dan Cheah Yee See. Mereka meraih peningkatan satu anak tangga yang menjadikan mereka menduduki ranking ke-22 dunia, minggu ini.
Manakala untuk gandingan campuran yang lain seperti Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei dan Chan Peng Soon-Valeree Siow kekal di kedudukan ke-10, ke-13, ke-29 dan ke-200 dunia.
Featured Image: Goh Liu Ying